Tuesday 6 March 2012

Sifat Sombong boleh Matikan Cahaya Iman

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain.” – (Hadis riwayat Muslim)


BERSYUKUR satu sifat terpuji yang sentiasa diamalkan insan yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah supaya mendapat keredaa-Nya. Orang yang bersyukur mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Sememangnya kehidupan kita tidak statik sepanjang masa. Setiap masa sentiasa ada perubahan sama ada menjadi lebih baik mahupun lebih buruk sebagai satu roda kehidupan yang mesti dihadapi.

Sudah menjadi lumrah ada yang dulunya miskin menjadi kaya, yang rendah pangkat menjadi tinggi jawatannya. Sebelumnya tidak dikenali, sekarang amat terkenal, disanjung dan dihormati.

Kekayaan dan kedudukan baik yang diperoleh itu harus dikongsi dengan orang lain sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya, manusia yang lebih baik ialah manusia yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain.

Satu sifat berbahaya yang selalu menjangkiti orang yang kedudukannya lebih baik berbanding orang lain ialah lupa diri. Sikap itu sering kali mendorong seseorang bertindak melakukan kejahatan kerana berasakan dirinya ‘berhak’ melakukan apa yang diingini.

Sikap lupa diri dan tidak bersyukur menjadi punca kedurhakaan iblis kepada Allah. Iblis berasakan dirinya lebih layak untuk dilantik menjadi khalifah berbanding Adam memandangkan dirinya dicipta daripada api dan sudah banyak melakukan kebaikan.

Iblis lupa hakikat dirinya yang sebenarnya hanyalah hamba. Dia tidak bersyukur dengan kedudukan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadanya. Maka jadilah iblis sebagai hamba yang ingkar dan tergolong sebagai dilaknati selama-lamanya.

Untuk mengelak diri menjadi kufur dan ingkar kepada Allah, berpeganglah kepada prinsip sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh dan dinikmati. Sikap itu akan memacu diri sentiasa tenang dan menerima segala ketentuan Allah tanpa sebarang perasaan syak wasangka kepada-Nya.

Namun, sikap bersyukur tidak pula bermakna kita berserah sepenuhnya kepada nasib tanpa melakukan apa-apa usaha. Hidup di dunia ini satu ladang untuk mencari bekal kehidupan di akhirat yang mana kita mesti melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa ditegah.

Sesungguhnya, setiap apa yang kita harapkan tidak semestinya tercapai. Banyak kegagalan dan keadaan buruk terpaksa pula dihadapi dengan sikap sabar dan tidak mudah berputus asa. Kita perlu bersyukur kerana masih ada peluang untuk terus berusaha mencapai apa yang dihajati.

Setiap Muslim mesti berusaha mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Nasib buruk tidak akan bertukar menjadi baik jika tidak berusaha mengubahnya.

Allah mengangkat darjat orang yang berilmu, berharta dan berkuasa melebihi orang kebanyakan jika mereka sentiasa bersyukur. Namun, darjat itu kembali ke taraf paling rendah jika dirinya sombong tidak mahu menggunakan kelebihan itu untuk memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Apa guna memiliki kekayaan jika tidak mahu digunakan. Sifat bakhil dan sombong menjadi penjara yang menghalangnya menikmati kekayaan dimiliki. Malah, hidupnya menjadi lebih tertekan kerana takut harta itu berkurangan atau digunakan oleh orang lain.

Begitu juga, orang yang berilmu, tetapi menyembunyikan ilmu itu daripada disebarkan kepada orang lain sebenarnya hidup dalam kegelapan. Sifat ilmu, semakin digunakan semakin bertambah keberkatannya. Orang berilmu mendapat kebaikan jika ia turut dikongsikan dengan orang lain.

Individu yang dikurniakan kelebihan sama ada kekayaan, jawatan, kuasa dan kecantikan mestilah menghindarkan diri daripada sifat sombong yang mendatangkan banyak keburukan. Perasaan sombong menjadi penyakit hati yang mematikan iman sehingga hidup menjadi sesat tanpa cahaya keimanan.

Bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terhindar sifat sombong dan lupa diri, memerlukan satu kekuatan yang memacukan sifat bersyukur di dalam diri. Orang yang bersyukur merasakan setiap kelebihan dimiliki olehnya hanyalah satu ujian daripada Allah.

Allah memberi peringatan supaya manusia bersyukur kerana dengan itu Dia akan melipatgandakan lagi nikmat yang diberikan. Sebaliknya, jika kufur akan nikmat yang dianugerahkan, kerugian besarlah bakal menimpa.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” – (Surah Ibrahim, ayat 7)[/

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda yang membina atau tak membina nye pun adoi kat sini yer.. peaceee ! ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...